
Datuk Haji Abdul Rahman Datuk Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud
Setelah gagal memenangi jawatan Tambalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran baru-baru ini dan jika Ahli Parliman Kota Belud ini tidak berpeluang mempertahankan kerusi parlimennya dalam PRU13 akan datang disebabkan peralihan kepimpinan UMNO yang berlaku dalam bahagian Kota Belud itu sendiri, mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tuaran ini akan berpeluang menjadi calon UMNO bagi kawasan baru Parlimen Sulaman, jika persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya diluluskan.
Ramai beranggapan, persempadanan semula ini akan diluluskan setelah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat kajian terperinci bagi tempoh setiap 10 tahun. Persempadanan yang lalu dilakukan ialah pada PR11 tahun 2004.
Ada kemungkinan juga ianya tidak diluluskan atas dua faktor: 1. Adakah Persidangan Perlimen yang dikuasai kurang dua pertiga wakil-wakil Barisan Nasional (BN) itu akan meluluskannya; 2. Jika diluluskan, adakah ia akan memihak kepada BN.
Ahli-ahli UMNO Tuaran akan mencari tempat untuk meletakkan beberapa orang pemimpin muda bahagian itu kerana pada masa ini hanya ada satu kawasan sahaja yang diuntukkan kepada UMNO iaitu DUN Sulaman yang diwakili oleh Datuk Haji Hajiji Haji Mohd Noor.
Jika kawasan baru ini diluluskan, UMNO akan mendapat tiga kawasan baru iaitu satu Parliman dan dua DUN yang mejoriti besar pengundinya terdiri daripada suku kaum Bajau. Kawasan yang disebut-sebutkan itu ialah Parliman Sulaman yang mengandungi DUN Nangka dan DUN Mengkabong.
Rahman adalah dikatakan salah seorang yang perlu mengisi salah satu dari dua kekosongan tersebut setalah DUN Nangka sedang diwakili Hajiji. Disebabkan pengalaman beliau sebagai Ahli Parliman dan bekas Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan kerap menonjolkan diri dalam arus perdana, beliau layak diberikan peluang menjadi MP Sulaman.
DUN Mengkabong menjadi kosong dan menunggu seorang pemimpin yang berkelayakan yang berasal dari kawasan tersebut. Pada masa ini UMNO Tuaran dikatakan tidak mempunyai calon yang layak dari DUN Mengkabong, kecuali dari kalangan profisional yang masih bertugas di berbagai agensi kerajaan. Terdapat juga beberapa orang bekas pemimpin UMNO Bahagian tetapi kini mereka ini telah melangkaui usia senja.
Orang nombor dua, Aliasgar Haji Basri dan Ketua Pemuda, Mohd Kassim Haji Razali juga mengintai peluang menjadi wakil rakyat. Malangnya kedua-dua mereka ini berasal dari DUN yang sama dengan Hajiji dan Rahman. Bagi merealisasikan impian tersebut, kedua-dua mereka ini perlu memindahkan keahlian mereka di cawangan-cawangan UMNO dalam DUN Mengkabong dan mengukuhkan kedudukan masing-masing dikalangan pengundi di DUN berkenaan atau sekurang-kurangnya mencari pemilikan hartanah yang membolehkan mereka diketigorikan sebagai pemestautin di kawasan tersebut.
Jika status quo diambil kira, kedua-dua Aliasgar dan Kassim juga akan berpeluang menduduki kerusi Parlimen Sulaman dan DUN Mengkabong.
Pada pemilihan UMNO, jika diadakan sebelum PR13, Aliasgar hendaklah merapatkan diri dengan lebih mantap lagi dengan kepimpinan Hajiji sementara Kassim hanya perlu mempertahankan jawatannya jika beliau belum melepasi had umur pemuda. Jika sudah melepasi had umur, Kassim harus menduduki salah satu jawatan nombor dua atau nombor tiga.
Aliasgar juga harus mengambil kira bahawa beliau harus mendapat sokongan padu daripada Hajiji seperti yang diperolehinya semasa menentang Rahman baru-baru ini. Aliasgar juga perlu mengkaji jika berlaku perpecahan undi yang membolehkan lebih ramai yang akan bertanding setelah kuota pencalonan telah dihapuskan kini.
Pastinya Rahman juga akan mengatur strategi mantap jika tidak mahu tewas sekali lagi. Kali ini, Rahman tidak boleh mengharapkan sokongan dari Hajiji jika tidak mahu tewas buat kali yang kedua seperti pemilihan yang lalu itu. By hook or crook, Rahman perlu lebih kehadapan daripada Aliasgar dan Kassim, hatta Hajiji sendiri.
Dalam perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, kelihatan kelibat beberapa orang mantan pemimpin UMNO seperti Datuk Mohd Yussop Manan, Darusamin Sainudin, Haji Noortaip Suhaili dan Mohd Pintaz Haji Badar. Mereka yang pernah kalah bertanding jawatan penting juga perlu diambil kira. Mereka terdiri daripada Omarkhan Amirusin, Haji Aliakbar Kawi, Yahya Siatin dan Ramli Akim. Pemimpin NGO yang berada dalam UMNO seperti Haji Noorzain Tawi, Haji Rekan Setan dan Kaharuddin Haji Madan dari Mengkabong juga menyatakan minat. Mereka bakal menggugat undi bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua.
Mereka ini mungkin juga akan memasuki arus perdana UMNO bahagian dan akan bertanding bagi jawatan penting parti. Jika tidak dikawal, mereka ini boleh membentuk regu atau pasukan atau kumpulan yang bakal mencabar mereka yang sedang menyandang jawatan itu pada sekarang ini. Dua beradik Aliasgar dan Zamani harus bersedia menghadapi perkembangan ini.
Aliasgar juga harus dapat mempertahankan jawatan Timbalan Ketua jika mahu menjadi pilihan alternatif bagi kerusi DUN Nangka. Beliau disebut sebagai 'Orang Shafie' (Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Naib Presiden UMNO Malaysia) dan berpeluang menggantikan Hajiji jika berlaku peralihan kepimpinan UMNO di peringkat Negeri Sabah.
Bagaimana pun Hajiji juga memiliki strategi yang lebih berkesan untuk mempertahankan kerusi tersebut walaupun berlaku peralihan kuasa diperingkat negeri. Kekuatan Hajiji yang tidak mudah digugat di Tuaran akan memberi kelebihan untuk menafikan peluang Aliasgar atau Rahman pada bila-bila masa.
Pucuk pimpinan juga akan mengambil kira seribu undi dari Bahagian Tuaran dan kedudukan Hajiji yang tidak mudah digugat itu akan memberikan peluang kepada beliau mempertahankan kedudukan, sekaligus untuk maju setapak lagi dalam kepimpinan BN di Negeri Sabah.
Sebab yang demikian, setiap pemimpin UMNO di bahagian ini masing-masing mahu berada di bawah naungan Hajiji. Mereka sedar akan kelebihan serta risiko yang bakal dihadapi jika memilih untuk berada bersama-sama di dalam regu dan kumpulan besar itu.
Bagaimana pun, jaminan kemenangan hanya kepada mereka yang benar-benar disokong secara total dan hanya Hajiji sahaja yang maha tahu tanpa disedari oleh mereka yang tidak disokong. Jika disedari pun ianya sudah terlambat setelah hampir berakhirnya tempoh berkempen, ibarat kata Pepatah Melayu 'Nasi Sudah Menjadi Bubur'.
No comments:
Post a Comment